Friday 29 July 2011

KRU Studios – Potensi Industri Seni Kreatif Sebagai Perniagaan Yang Menjana Keuntungan





Filem Cicak-Man mencetuskan fenomena dan anjakan dalam dunia perfileman tempatan


Seandainya sebelum ini peminat-peminat filem tempatan tertumpu dengan filem-filem adiwira Hollywood, pada tahun 2005, industri filem tempatan mencipta sejarah dengan  munculnya filem  adiwira tempatan yang pertama iaitu Cicakman. Filem yang diterbitkan oleh KRU Studios ini berjaya mencecah kutipan box office, lalu disusuli dengan sekuel filem tersebut. Kelainan dan keunikan dalam industri filem tempatan terus diperkaya dengan filem Magika  yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik di dalam Festival Filem Malaysia ke 23, diikuti oleh filem epik Hikayat Merong Mahawangsa, HMM. Filem-filem seperti Magika dan HMM ternyata bukan sahaja tampil sebagai wadah hiburan, tetapi turut berfungsi untuk mengangkat kisah-kisah daripada perbendaharaan karya sastera dan dongeng silam sebagai pembina jati diri generasi muda di negara ini. 

Unit Penyelidikan PERDASMA ketika menemubual Presiden Eksekutif Kru Studios di pejabat beliau


                Sejarah Kru Studios merupakan manifestasi semangat untuk terus mencipta kejayaan yang terpancar daripada Norman, Edry dan Yusry Abdul Halim. Walaupun ketiga-tiganya sering tampil sebagai penghibur menerusi kumpulan Kru, namun di sebalik dunia populariti yang menyelubungi dunia hiburan, ketiga-tiganya merupakan watak-watak usahawan Bumiputera yang giat bekerja untuk mengangkat industri seni kreatif negara ke tahap yang lebih tinggi.  Ternyata wujud semangat untuk terus mencipta kelainan dalam menawan pasaran, dan semangat ini tidak akan membuahkan hasil seandainya tidak disusuli oleh pelaburan di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Sudah tiba masanya KRU Studios yang digerakkkan oleh generasi bumiputera di peringkat lembaga pengarah dan pengurusan kanan dilihat sebagai aset kepada Bumiputera di dalam industri seni kreatif. 

Norman A Halim, Presiden Eksekutif Kru Studios

                Menurut Norman A.Halim selaku Pengerusi Eksekutif KRU Studios, minat merupakan satu faktor yang mendorong beliau untuk berani menceburkan diri ke dalam bidang perniagaan. Seseorang itu perlu memiliki minat dan kemahiran untuk berjaya di dalam perniagaan yang diceburinya. Menyingkap sejarah KRU Studios, syarikat ini bermula daripada bisnes yang lebih tertumpu kepada aktiviti KRU sebagai artis, iaitu menghasilkan lagu dan membuat persembahan. Kemudian, pendedahan yang diterima khususnya dalam aspek penerbitan audio dan video membuka peluang untuk mereka menghasilkan video korporat dan iklan televisyen bagi memenuhi permintaan pasaran. 

Hikayat Merong Mahawangsa , sebuah karya sastera yang diangkat sebagai sebuah filem epik


Lanjutan daripada tertubuhnya syarikat mereka pada tahun 1992, dengan berdasarkan perancangan jangka masa panjang, satu demi satu syarikat sokongan mula ditubuhkan yang mempunyai bisnes tersendiri seperti pengurusan acara, syarikat penerbitan video, syarikat pengeditan  dan penerbitan program televisyen. Sungguhpun  turut menerima kesan kegawatan ekonomi pada tahun 1997, KRU Studios masih mampu bertahan. Bermula pada tahun 2000, syarikat ini mula menceburkan diri secara aktif di dalam penerbitan program televisyen dan idea untuk menerbitkan sebuah kompleks studio mula difikirkan secara serius. Akhirnya kompleks studio bernilai RM 85 juta yang dibangunkan bersama syarikat Cyberview Sdn Bhd ini  tersergam gah di Cyberjaya. Ini menjadi penyataan komitmen KRU Studios untuk terus menghasilkan karya-karya seni kreatif bertahap tinggi di negara.  
Sebagai salah seorang pemain di dalam industri ini , Norman  optimis dalam meletakkan industri seni kreatif sebagai satu bidang yang mampu mendatang pulangan yang lumayan. Merujuk kepada sifat-sifat Melayu itu sendiri, Norman berpendapat bahawa orang Melayu merupakan bangsa yang amat kreatif dalam bidang kesenian. Dengan kemampuan mengkritik dan memberi komentar dalam pelbagai cabangan seni  menunjukkan seniman dan karyawan Melayu mempunyai penghayatan seni yang tinggi. Kemampuan Melayu untuk mengapresiasikan seni boleh membuka ruang kepada  pulangan yang besar.  

Ketika diajukan soalan tentang bagaimanakah pemain-pemain di dalam undustri seni kreatif tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa, beliau berpandangan bahawa untuk menjadi pemain global di dalam industri filem tempatan, hakikatnya kita tidak dapat lari daripada menyuntik modal  ke dalam penerbitan. Krew-krew yang terlibat perlu dilatih dari semasa ke semasa selain daripada program R&D yang perlu turut dijalankan.  Norman juga melihat wujud keperluan untuk membina institusi-institusi pengajian vokasional yang khusus untuk melatih anak-anak tempatan yang tidak begitu cemerlang di dalam akademik namun mempunyai kreativiti dan apresiasi seni yang tinggi. Kumpulan ini mampu menjadi aset yang penting dalam membangunkan industri seni kreatif di negara. KRU Studios sendiri mempunyai ramai tenaga kerja yang tidak semestinya berkelulusan akademik, namun mempunyai kemahiran , bakat dan kreativiti yang diperlukan untuk membangunkan industri seni kreatif tanahair. 

Setelah sekian lama di dalam industri seni kreatif, beliau turut mengetengahkan satu cabaran yang dihadapi oleh pemain-pemain industri seni kreatif tempatan. Masalah utama yang sedikit sebanyak mengekang kemajuan industri ini adalah  institusi kewangan masih lagi belum bersedia menampung keperluan dana  di dalam dunia seni kreatif. Sebagai contoh, untuk meluluskan pinjaman, institusi kewangan  masih lagi melihat kepada aset dan collateral sebelum pinjaman diberikan. Jika ditinjau di luar negara, pendekatan yang digunakan adalah kandungan dan nilai harta intelek itu sendiri yang dijadikan collateral di dalam memberi pinjaman.  

Kejayaan HMM menembusi pasaran antarabangsa merupakan suatu inspirasi dan model ikutan yang perlu dikaji oleh pemain-pemain dalam industri seni kreatif negara. Dalam mengulas bagaimana HMM kini sudah berjaya menembusi pasaran 72 buah negara luar, beliau menyifatkan bahawa syarat untuk menembusi pasaran antarabangsa adalah pemain-pemain industri ini memerlukan jaringan. Salah satu strategi yang dilaksanakan oleh KRU Studios adalah menerusi co-production atau penerbitan bersama yang menggabungkan kepakaran KRU Studios dan syarikat-syarikat antarabangsa yang lain. Dengan strategi ini, di samping membantu meluaskan pasaran , akan berlaku perkongsian kemahiran, kepakaran dan teknologi antara kedua-dua pihak yang bekerjasama. Dalam proses penghasilan HMM sendiri, kepakaran pelakon lagak ngeri daripada Hong Kong telah dimanfaatkan untuk memberi pendedahan kepada pelakon-pelakon lagak ngeri tempatan. 

Sebagai pemimpin bagi sebuah syarikat penerbit seni kreatif, Norman tegas dalam menyatakan bahawa industri seni kreatif adalah industri yang serius kerana bidang ini adalah perniagaan, namun akibat daripada telalu banyak tumpuan yang diberikan kepada aspek sensasi dunia hiburan, ramai yang menganggap industri ini hanya sebagai industri ‘main-main’. Pada tahun 2010 sahaja, kutipan daripada hasil tayangan filem tempatan telah  melebihi nilai setengah billion Ringgit Malaysia, membuktikan industri seni kreatif menjanjikan pulangan yang amat besar.
Pihak editorial Buletin PERDASAMA juga mengajukan persoalan terhadap pandangan umum yang mengatakan bahawa industri seni kreatif, khususnya di bidang perfileman kini berada di tahap mendatar. Persoalan ini dengan segera telah dinafikan oleh Presiden Eksekutif KRU Studios ini dengan memberikan perspektif tersendiri selaku pemain industri. Beliau berpendapat bahawa industri perfileman di negara ini telah bergerak ke hadapan dengan begitu baik dan banyak perubahan positif terus berlaku sejak 2 dekad lalu.  Beliau memberikan kayu ukur penghasilan pelbagai filem dengan kerencaman genre; bermula daripada animasi, musikal, seram, komedi , drama, aksi , epik dan lain-lain lagi  sebagai bukti bahawa industri perfileman negara ini setanding dengan tahap antarabangsa. Kemampuan filem-filem tempatan menguasai 15 peratus pasaran penonton dengan hanya sejumlah 38 filem berbanding ratusan filem asing merupakan bukti filem-filem tempatan berdaya saing. 

Namun begitu pasaran filem tempatan mempunyai cabaran dan hambatannya yang tersendiri. Sebagai sebuah negara dengan rakyat berbilang bangsa, penonton-penonton Malaysia secara tidak langsung terpecah kepada penonton-penonton mengikut bahasa perantaran masing-masing. Di Jepun, Indonesia dan Thailand, penggunaan bahasa perantaraan yang sama memberikan kelebihan daripada segi homogeneity atau keseragaman untuk menarik lebih ramai penonton untuk menonton sesebuah filem. 

Ketika menghimbau jatuh bangun dan kemampuan KRU Studios sehingga mampu bertapak kukuh pada hari ini, Norman berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan industri seni kreatif di negara ini. Kementerian Penerangan, KPPDN, MOSTI, MDec dan Matrade telah memainkan peranan yang begitu besar dalam membantu KRU Studios daripada segi penjanaan dana dan  memasarkan produk-produk mereka ke pasaran antarabangsa.

Tuesday 26 July 2011

Tun Daim – " Melayu Perlu Bersaing !"





Dalam syarahan yang telah disampaikan oleh mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin  pada 31 Mac 2011 di Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur,  beliau telah menyorot sejarah negara ini dalam konteks senario  ekonomi-politiknya. Secara ringkas, konsep political economy ini dapatlah difahami sebagai model ekonomi yang berkaita rapat dengan struktur politik dan kerajaan sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, model ini adalah begitu ketara memandangkan sejarah penjajahan  memperlihatkan dasar pecah dan perintah diamalkan oleh pihak penjajah. Kaum Melayu diletakkan untuk mendiami kawasan kampung dan mennjalankan kegiatan pertanian. Kaum cina pula diletakkan diruang-ruang bandar untuk menjalankan perniagaan. Manakala kaum India pula berada di kawaan-kawasan pertanian atau estet. 

Dalam syarahan beliau, Tun Daim menjelaskan bahawa model ekonomi politik yang wujud di negara ini  bergantung kepada 3 faktor utama, iaitu struktur politik yang wujud, komposisi etnik dan hak Melayu sebagai bumiputera di negara ini.

Ketidak seimbangan ekonomi  yang juga menyumbang kepada ketidakstabilan politik telah mengakibatkan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Selapas titik hitam tersebut, kerajaan telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru, satu bentuk tindakan afirmatif bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di Malaysia. Beliau berpandangan bahawa DEB telah banyak membantu melahir dan membangunkan generasi bumiputera dalam dekad-dekad seterusnya.

Dalam era pelaksanaan Model Ekonomi Baru, kerajaan mensasarkan untuk menghasilkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa sebuah model baru perlu dibangunkan untuk menangani isu pembentukan usahawan-usahawan bumiputera yang diharapkan akan mampu bertahan tanpa sokongan kerajaan.  Sungguhpun begitu, pelaksanaan total meritocracy di negara ini masih belum boleh dilaksanakan memandangkan masih belum wujud medan persaingan yang sama rata untuk semua kaum atau a level playing field. Dalam pada itu, Tun Daim mendapati bahawa bumiputera tidak dapat tidak, perlu bersaing dengan bangsa-bangsa lain untuk berjaya.

61 NGO Ekonomi Melayu Bergabung menubuhkan Majlis Ekonomi Melayu

6 pemimpin tertinggi NGO ekonomi Melayu termasuk Presiden PERDASAMA ketika memberi kenyataan media



23 Julai 2011 lalu tercatatlah sebuah detik penting dalam sejarah umat Melayu di negara ini apabila sebanyak 61 buah pertubuhan bukan kerajaan ekonomi Melayu berhimpun dan bersetuju menubuhkan Majlis Ekonomi Melayu atau MEM. Penubuhan MEM ini dilihat sebagai satu usaha untuk menyuarakan kegelisahan masyarakat Melayu terhadap pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi yang dilihat tidak menjaga kepentingan Bumiputera dan tidak memberi tumpuan untuk merapatkan jurang perbezaan ekonomi yang masih lagi serius.


Pemimpin kanan dan wakil daripada 61 NGO ekonomi Melayu yang hadir



Rata-rata semua pihak menyuarakan bahawa dalam mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti, peniaga, pedagang dan pengusaha Melayu seakan-akan ditinggalkan di belakang dan tidak akan mendapat bahagian yang wajar di dalam kek ekonomi negara. 


Pemimpin dan wakil PERDASAMA sedang memberi pandangan


Antara keputusan penting yang dicapai oleh MEM adalah untuk mengadakan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri Malaysia dalam jangka masa terdekat bagi mengutarakan keadaan ini. Terdapat juga gesaan untuk Majlis Tindakan Agenda Bumiputera menjalankan langkah-langkah yang lebih berkesan dalam membela kepentingan bumiputera di negara ini.