Tuesday 29 November 2011

KLINIK USAHAWAN MPOG & CREDIT GUARANTEE CORPORATION



Pada 18 November 2011 lalu, Biro Malaysia Petroleum, Oil & Gas  PERDASAMA telah menganjurkan sesi Klinik Usahawan bersama Credit Guarantee Corporation M Berhad. Di dalam program tersebut, wakil CGC telah memberikan penerangan kepada para peserta yang hadir tentang Tabung Projek Usahawan Bumiputera-I oleh Encik Jamel Mat Noh , Ketua Jabatan Pembangunan Bumiputera CGC dan Encik Mohd Khir.





Hampir 25 orang ahli-ahli PERDASAMA telah hadir di sesi tersebut yang berlangsung selama hampir 3 jam di bilik mesyuarat  ibupejabat PERDASAMA. Para peserta turut menggunakan kesempatan tersebut untuk mengemukakan pertanyaan berkaitan TPUB-i . Dr Rohani Abdul Rahim, Pengerusi Biro MPOG PERDASAMA turut menyampaikan taklimat berkaitan peluang dan perkhidmatan yang berkaitan di dalam industri ini.

Monday 21 November 2011

Projek Mutiara Nasional PERDASAMA bangkit dengan pendekatan baru menerusi Projek Mutiara Negeri Sembilan 2011

(Dari kiri) Dato Hj Yusof bin Yunus, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan, Dato Hj Yunus Rahmat, Penasihat PMNS & Exco Kerajaan Negeri dan Dato' Moehamad Izat Emir, Presiden PERDASAMA

Ceramah Motivasi disampaikan oleh En. Mohd Sabri Hj Shariff, Pensyarah Kanan UTEM


Dewan MPS dipenuhi bakal-bakal usahawan muda

Setelah berehat hampir 2 tahun, penganjuran Projek Mutiara Nasional kini berjaya dilangsungkan di Negeri Sembilan Darul Khusus. Dalam penganjuran kali ini, PERDASAMA telah mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan, PKNNS dengan menyasarkan penyertaan  seramai 1000 peserta. Program telah dilangsungkan pada 17 November di Dewan Majlis Perbandaran Seremban. Majlis perasmian PMNS ini telah disempurnakan oleh EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato Hj Yunus Rahmat.




Antara jurucakap pihak vendor yang sedang menyampaikan penerangan kepada peserta PMNS ;



 










Daripada aspek penganjuran, PMNS menampilkan kelainan daripada penganjuran Projek Mutiara yang lalu dengan membawa bersama 15 vendor francais Bumiputera yang ditampilkan khas untuk memberikan penerangan tentang pakej untuk memulakan perniagaan kepada para peserta yang hadir. Rakan vendor yang dijemput  telah memberikan penerangan tentang apakah perniagaan  yang telah dijalankan secara terperinci meliputi perniagaan kiosk makanan, percetakan, komunikasi, pemborongan dan sebagainya.



Dato Yusof bin Yunus, Ketua Eksekutif PKNNS sedang menyampaikan taklimat tentang peranan dan bagaimana PKNNS dapat membantu usahawan baru di Negeri Sembilan


Para peserta PMNS tekun mendengar


Forum Usahawan Muda yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Kama Kahamuzakkir bin Kamaruddin, SUA Majlis Belia Negeri Sembilan


PKNNS sebagai penganjur bersama turut memanfaatkan program ini untuk menyampaikan maklumat terkini dan apakah bentuk-bentuk bantuan yang disediakan kepada bakal usahawan-usahawan muda Negeri Sembilan. Taklimat daripada pihak PKNNS telah disampaikan sendiri oleh Ketua Eksekutif PKNNS, Ybhg. Datuk Yusof b. Yunus.  Majlis turut dimeriahkan lagi dengan sesi Forum Usahawan Negeri Sembilan yang menampilkan dua orang tokoh usahawan muda yang telah berjaya di dalam bidang masing-masing, iaitu Encik Khairul Azwan Md Jantan, pengusaha minuman ice - blended dan Puan Issharina binti Bahari, pengusaha butik.



Ketika program berlangsung dengan rancak di dalam dewan, pihak rakan vendor PMNS  juga mengambil kesempatan untuk mengadakan demonstrasi dan pameran produk-produk mereka di bahagian ruang legar dewan tersebut. Para peserta boleh melihat apakah produk-produk para vendor yang terlibat serta saiz sebenar kiosk  untuk membantu mereka membuat pilihan.





Pada sesi sebelah petang, penganjur telah menyediakan ruang bagi para peserta mendapatkan maklumat secara lebih terperinci daripada rakan-rakan vendor serta  institusi kewangan yang dijemput untuk memeriahkan PMNS kali ini. Berdasarkan sambutan dan respons yang diberikan oleh para peserta, ternyata PMNS berjaya menimbulkan minat dan menyediakan entry point kepada bakal-bakal usahawan muda untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Para peserta yang hadir bukan sahaja mendapat motivasi dan penerangan tentang apakah jenis perniagaan yang boleh dijalankan, mereka juga turut mendapat maklumat tentang kemudahan kewangan yang disediakan oleh pelbagai agensi dan institusi . Dengan ini, para peserta sudah mampu untuk memualakan perniagaan mereka dan menceburi dunia keusahawanan sebaik sahaja mereka pulang dari PMNS ini.

                



   Gambar-gambar di sekitar sesi Pemadanan Perniagaan ketika PMNS@ Business Matching


Monday 14 November 2011

PELANCARAN DANA PEMBANGUNAN TAHFIZ KEMBOJA

Dato' Sohaimi Shahadan, Pengerusi PERDASAMA Muda ( tiga dari kiri), Mohd Farid Hosen , Pengarah Eksekutif CMIA (tiga dari kanan) dan En Shawaluddin Mohd Din, Naib Presiden PERDASAMA ( dua dari kiri) ketika melancarkan dana tersebut



Sebagai kesinambungan kepada kejayaan Program Dana Wakaf al Quran, PERDASAMA Muda dengan kerjasama Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO sekali lagi meneruskan usaha-usaha sumbangan kemanusian dengan melancarkan Dana Pembangunan Tahfiz Kemboja. Penubuhan dana ini adalah untuk mengumpulkan sumbangan bagi membina pusat pengajian Maahad Tahfiz Antarabangsa Malaysia-Kemboja. Program ini telah mendapat kerjasama daripada Cambodian Muslim Intellectual Alliance, CMIA.


Datuk Sohaimi Shahadan sedang memberikan taklimat berkaitan Maahad Tahfiz Antarabangsa Malaysia-Kemboja







Cadangan penubuhan maahad tahfiz ini lahir dengan kesedaran bahawa perlu diwujudkan usaha jangka masa panjang untuk membangunkan pendidikan berteraskan Al Quran kepada masyarakat Islam Melayu Champa, khususnya di kalangan kanak-kanak. Setelah hasrat untuk menyerahkan 10 ribu naskhah Al Quran dan 3000 naskhah Muqaddam kepada masyarakat Islam Champa pada 13 Oktober lalu berjaya dilaksanakan, timbul pada hasarat bahawa dengan kehadiran naskhah Al Quran dalam jumlah yang besar di sana, masyarakat Islam Champa juga perlu menerima pendidikan untuk membaca al Quran dengan betul.

Thursday 10 November 2011

LAWATAN KERJA PERDASAMA UNTUK MENINJAU PELUANG PERDAGANGAN DAN PELABURAN DI JAKARTA DAN BANTEN

Delegasi PERDASAMA bergambar di wilayah Banten
1.     
   Pada 19-21 Oktober 2011, PERDASAMA telah menganjurkan sebuah lawatan kerja bagi meninjau peluang perdagangan dan pelaburan di Jakarta - Banten selama 4 hari dan 3 malam. Delegasi PERDASAMA telah  diketuai oleh YBhg Dato’ Samsudin Abdul Rahman, Pengerusi Biro Logistik PERDASAMA. Seramai 15  peserta menyertai delegasi ini termasuk  Cik Suriati Yusoff  dari Sekretariat PERDASAMA. 



Suasana di Trade Expo Indonesia

Pada 19 Oktober , delegasi PERDASAMA telah menghadiri Majlis Perasmian Trade Expo Indonesia (TEI) yang dirasmikan oleh Timbalan Gabenor Indonesia. Seterusnya, delegasi PERDASAMA telah mengikuti aktiviti padanan perniagaan bersama ahli-ahlli perniagaan yang menghadiri Trade Expo Indonesia


Pertemuan Bersama Menteri Perdagangan Indonesia


Pada hari ketiga iaitu 20 Oktober 2011,      sesi Dialog Interaktif telah dilansungkan  dengan Menteri Perdagangan Indonesia bersama semua rombongan daripada Malaysia spt Dewan Perniagaan Melalyu Sabah dan Labuan.


 Sesi pertemuan bersama Timbalan Gabenor Banten ;




Encik Nasir, N YDP Perdasama Kedah menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Gabenor Banten

 

Pada 21 Oktober, delegasi PERDASAMA telah seterusnya dibawa ke provinsi Banten yang mengambil masa 2 jam dari Jakarta. Delegasi PERDASAMA disambut oleh Timbalan Gabenor Banten dan pegawai-pegawai  dari pejabat kerajaan. Di dalam pertemuan tersebut, delegasi disediakan dengan maklumat  mengenai pelaburan di Banten. Timbalan Gabenor Banten mencadangkan, memandangkan kunjungan ini merupakan pertemuan kali ke tiga PERDASAMA dan Wilayah Banten, dalam jangkasa terdekat untuk diadakan satu forum bersama antara PERDASAMA dan  Banten bagi memperkenalkan produk yang berpotensi untuk dieksport dari kedua-dua belah pihak untuk kepentingan usahawan  PERDASAMA /Banten. Turut dicadangkan diadakan dalam forum tersebut adalah pameran produk-produk dari Banten dan ahli PERDASAMA. Tempat yang dicadangkan di Kuala Lumpur



Wednesday 9 November 2011

Lawatan Kerja PERDASAMA ke Kemboja pada 14-16 Oktober 2011





Pada 14-16 Oktober 2011, PERDASAMA telah menghantar 2 wakil dari Sekretariat PERDASAMA bagi mengikuti lawatan kerja ke bandar Phnom Penh. 2 wakil tersebut adalah Saudara Azril Mohd Amin, Setiausaha Agung PERDASAMA dan Saudara Mohd Yusni Khusaini Dato’ Hj Mohd Jusoh, Ketua, Bahagian Perancangan Strategik & Publisiti (PSP)  .   
  

Wakil-wakil PERDASAMA telah membuat liputan bagi majlis tanda tangan MOA antara Markmore Group dan Paragon Corporation berkaitan projek reverse investment  yang berlangsung di sana dan lawatan kerja Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia pada 15 Oktober 2011


Tan Sri Halim Saad, Pengerusi Markmore Group (M) dan Darryl Sopphaleath Eang, Presiden Paragon Corporation menjawab pertanyaan wakil-wakil media

Salah satu sektor pelaburan yang berpotensi untuk dijalankan di Kemboja merupakan sektor pelaburan timbal balik ataupun  reverse investment di dalam penghasilan produk-produk asas tani. Menerusi inisiatif ini, syarikat-syarikat Malaysia menerusi sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengusahakan penanaman pelbagai jenis hasil pertanian yang kemudiannya akan dibawa pulang ke Malaysia bagi memenuhi keperluan tempatan. Walaupun penanaman diusahakan di negara lain, namun seluruh proses ini akan dianggap sebagai kegiatan pertanian Malaysia dengan syarat keseluruhan keluaran adalah bersumber kepada pelaburan yang dibuat dan bukan diperoleh menerusi pembelian/ pengumpulan daripada pihak ketiga.

Bandar Phnom Penh

'Tuk-tuk', pengangkutan awam di Phnom Penh


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyatakan bahawa Kabinet telahpun meluluskan garis panduan  bagi pelaburan timbal balik pada 24 Ogos 2011 lalu, sekaligus menjadikan inisiatif Markmore Group ini sebagai usaha terawal di dalam bidang ini. Langkah ini juga selaras dengan Dasar Agromakanan Negara sebagai persedian bagi menghadapi risiko krisis makanan dalam dekad-dekad mendatang.



Pelbagai kegiatan perdagangan sebagai aktiviti ekonomi utama masyarakat Kemboja

Pelaburan timbal balik merupakan satu kaedah pertanian yang dilihat sebagai alternatif untuk menyokong keperluan bekalan makanan negara dalam konteks food security. Malaysia kini semakin kekurangan kawasan pertanian dan hanya berjumlah 30 % sahaja,  sekaligus memerlukan bekalan makanan yang besar untuk mengelakkan masalah kekurangan makanan. Pada tahun 2010 sahaja, Malaysia terpaksa bergantung kepada import makanan sehingga berjumlah RM 12.1 billion.  Proses pelaburan imbal balik ini secara umumnya  akan bersifat complimentary kepada Program Transformasi Ekonomi negara.

Thursday 3 November 2011

Majlis Pelancaran Jelajah Francais 1 Malaysia 2011




PERDASAMA Muda dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, KPDNKK telah bersama-sama menganjurkan program Majlis Pelancaran Jelajah Francais 1 Malaysia. Program ini merupakan satu usaha untuk memberikan pendedahan meluas kepada belia-belia yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia keusahawanan di negara. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri KPDNKK di Pusat Dagangan Dunia Putra, KL.

Program penjelajahan francais ini akan merentasi 13 buah negeri di semenanjung Malaysia. Bagi setiap destinasi, disasarkan seramai 500 orang akan menceburkan diri ke dalam dunia francais. Daripada jumlah tersebut, diharapkan 10 peratus daripada mereka iaitu seramai 50 orang akan berjaya .

Wednesday 2 November 2011

Unit Perancang Ekonomi dan Perancangan Ekonomi Negara

Perbincangan antara YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan delegasi PERDASAMA berkaitan isu-isu ekonomi semasa negara



Kesempatan untuk bertemu dengan YB Tan Sri Nor Mohamed bin Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bertanggung jawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi pada 6 Oktober lalu adalah begitu bermakna. Di dalam sesi separa formal dan agak santai, delegasi PERDASAMA berkesempatan untuk mendengar pandangan beliau tentang isu-isu ekonomi, Bajet 2012 dan perkembangan terkini program koridor ekonomi negara. Ketika diajukan soalan tentang kemampuan Malaysia mengemudi dirinya di waktu dunia menghadapi kegawatan ekonomi, khususnya pada tahun 1980-an, krisis mata wang 1997 dan juga krisis ekonomi sedunia 2008, beliau menjelaskan bahawa negara mempunyai kepimpinan dan pegawai-pegawai kerajaan yang berpengetahuan tinggi, berpengalaman dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya. Selain itu, sebagaimana teserlah daripada tindakan Malaysia mengenakan kawalan mata wang dan tidak mengambil pakej pinjaman daripada IMF, membuktikan bahawa pengurusan ekonomi negara adalah cekap dan sentiasa mengambil pelajaran dan memperbaiki kelemahannya di sepanjang sejarah perjalanan negara ini pasca merdeka.