Thursday 25 August 2011

Bengkel Pemahaman Integriti Korporat PERDASAMA-IIM




Pertukaran Cenderamata Antara Presiden PERDASAMA, Dato' Moehamad Izat Emir dan Timbalan Presiden IIM, Dr. Abu Bakar Sapron

 


Isu integriti merupakan satu isu yang sering diperkatakan di dalam dunia korporat dan perniagaan.  Sekiranya dikaji dan diteliti, masalah integriti merupakan satu faktor yang akan menentukan kelestarian sesebuah badan korporat atau perniagaan.  Antara syarikat gergasi antarabangsa yang tumbang akibat masalah penyelewangan sebagai anti thesis kepada konsep integriti adalah Enron, World-Com dan Arthur Andersen . Ternyata nilai-nilai integriti seperti amanah, kejujuran, ketelusan, menolak rasuah dan anti penyelewengan adalah penentu kejayaan jangka masa panjang sesebuah organisasi. 




PERDASAMA berpandangan bahawa salah satu faktor yang membelenggu kejayaan para pengusaha dan pedagang Melayu juga adalah nilai integriti. Sehubungan itu, PERDASAMA telah menganjurkan Bengkel Pemahaman Integriti Korporat dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia, IIM. 


Encik Rezaidi mengupas tentang konsep Integriti secara menyeluruh dan perkembangannya di Malaysia


Program ini boleh dipecahkan kepada dua sesi. Sesi pertama adalah pembentangan oleh En Mohd Rezaidi Mohd Ishak, Timbalan Pengarah Sektor Swasta IIM. Di dalam pembentangan beliau, Encik Rezaidi menerangkan tentang apakah yang dimaksudkan menerusi istilah integriti. Beliau memberikan banyak contoh tentang perkembangan penerimaan nilai integriti di negara ini menerusi langkah-langkah yang dijalankan oleh kerajaan. 





Sesi di'panaskan' oleh para peserta yang berkongsi pengalaman menghadapi pihak-pihak tidak berintegriti



Di dalam sesi kedua, peserta-peserta yang hadir telah diberikan kesempatan untuk berinteraksi dengan berkongsi pengalaman sebenar mereka berhadapan dengan masalah-masalah integriti. Berdasarkan maklum balas yang diberikan serta betapa ‘hangat’ nya sesi tersebut, ternyata masih banyak yang perlu dilakukan untuk membina nilai integriti di semua peringkat. 



Wakil Teraju, SPRM dan BPA hadir sebagai pemerhati dan memberikan respons terhadap pandangan para peserta


Program ini turut disertai oleh wakil-wakil Unit Peneraju Agenda Bumiputera  ( TERAJU), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) dan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri. Kehadiran wakil-wakil daripada  pihak kerajaan membantu untuk membina pemahaman sebenar terhadap mandat dan gerak kerja masing-masing, di samping menjernihkan salah persepsi yang mungkin wujud .

Wednesday 17 August 2011

Majlis Pelancaran Projek Mutiara Negeri Sembilan




 Mesyuarat Projek Mutiara Negeri Sembilan




Sebahagian ahli-ahli mesyuarat




Tahun terakhir Projek Mutiara Nasional dianjurkan  adalah pada tahun 2008 di negeri Perlis. Program ini merupakan satu inisiatif yang telah dijalankan untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda daripada kalangan belia negara yang tidak begitu cemerlang di dalam akademik.  Pada tahun ini, Projek Mutiara Nasional akan diteruskan di Negeri Sembilan dengan nama Projek Mutiara Negeri Sembilan, PMNS.


Pada 12 Ogos 2011 lalu, sebuah mesyuarat telah berlangsung di antara PERDASAMA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan yang merupakan rakan kerjasama yang akan bersama-sama menjayakan Projek Mutiara pada tahun ini. Mesyuarat tersebut turut menyaksikan kehadiran wakil-wakil daripada agensi-agensi kerajaan negeri yang akan digerakkan bagi menjayakan program tersebut.

Dato Hj Mohd Yusof bin Yunos, CEO bagi PKNNS sedang menandatangani banner PMNS ketika majlis Pra-Pelancaran PMNS 2011
 


Datuk Naim Mohamad, Pengerusi Biro Latihan PERDASDAMA



Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa YAB Menteri Besar Negeri Sembilan telah bersetuju untuk menjadi penaung bagi projek ini. Tarikh awal yang telah ditetapkan untuk Fasa 1 Projek Mutiara Negeri Sembilan adalah pada 29 oktober di Kompleks Sukan Paroi.

Di dalam majlis yang sama, upacara menandatangani banner PMNS juga telah dilakukan oleh kedua-dua pengerusi bersama program ini, iaitu Dato' Hj Mohd Yusof bin Yunus, CEO bagi PKNNS dan Datuk Haji Naim Mohamad, Pengerusi Biro Latihan PERDASAMA. 


       



Majlis Berbuka Puasa PERDASAMA Muda - Kolej Polytech MARA - BePU



Dato' Moehamad Izat Emir, Presiden PERDASAMA


Datuk Muhamad Alias Abdul, ahli Lembaga Pelawat RKKTB


Pada 14 Ogos 2011 lalu, PERDASAMA Muda bersama-sama Kolej PolyTech MARA dengan kerjasama Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur , Persatuan Usahawan Melayu Bandar Tun Razak  telah melangsungkan Majlis Berbuka Puasa di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Tunku Budriah, Cheras.

Para tetamu yang hadir memeriahkan majlis


 Kejayaan  penganjuran majlis berbuka puasa ini terletak kepada kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak, dan mewujudkan hubungan baik antara agensi-agensi kerajaan, kerajaan tempatan  serta badan-badan bukan kerajaan Melayu.
Dato' Sohaimi Shahadan, Pengerusi Kolej Polytech  MARA dan PERDASAMA Muda menyampaikan plak kepada Hajah Zubaidah binti Muhammad, Pengetua RKKTB


Wakaf yang disumbangkan oleh Kolej Poly Tech Mara

Majlis berbuka puasa ini menjadi lebih bermakna dengan penyerahan wakaf kepada pihak RKKTB yang disumbangkan oleh pihak Kolej Poly Tech MARA untuk kegunaan para penghuni dan pelawat-pelawat yang hadir.



Monday 15 August 2011

PERDASAMA Wilayah Persekutuan Anjur Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim


Pemimpin-pemimpin kanan PERDASAMA Nasional dan WP  sedang menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada anak-anak yatim, tetamu yang diraikan.




Di dalam keberkatan Ramadhan Al Mubarak, umat Islam digalakkan memberi makanan berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa. Dengan mengambil semangat ini, PERDASAMA Wilayah Persekutuan telah menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim pada Jumaat, 12 Ogos 2011 yang lalu di Masjid Usamah bin Zaid di Wangsa Maju. Tema penganjuran majlis ini adalah ' Muliakan Anak-anak Yatim Sebagaimana Mulianya Bulan Ramadhan'.



Anak-anak yatim yang diraikan ; wajah  yang penuh kegembiraan



Anak-anak yatim daripada beberapa buah rumah anak yatim di sekitar Kuala Lumpur seperti Rumah Titian Kasih telah dijemput untuk memeriahkan majlis ini. Di dalam majlis ini, anak-anak yatim ini telah diraikan dan diberikan dengan sumbangan bagi membantu mereka meraikan Aidil Fitri pada tahun ini. Di samping itu, rumah-rumah anak yatim ini juga telah menerima sumbangan beras .

Tetamu khas, Imam Masjidil Haram sedang membacakan doa dan seterusnya mengimamkan solat fardhu Marghrib, Isyak dan Tarawikh


Majlis ini juga telah dimeriahkan dengan kehadiran Imam Masjidil Haram yang turut bersama-sama berbuka puasa dengan sekelian hadirin yang hadir.

Thursday 11 August 2011

Sidang Media dan Pelancaran Wakaf Quran di ibupejabat PERDASAMA Nasional

Program Wakaf Quran yang  bermatlamat untuk menghantar 10 000 naskhah Al Quran ke masyarakat Cham di Kemboja merupakan sebuah usaha mulai dan terpuji


Pada 8 Ogos 2011 lalu, sidang media dan majlis pelancaran Program Wakaf Quran  telah pun diadakan di ibupejabat PERDASAMA, Kuala Lumpur. Program ini merupakan sebuah program anjuran bersama Pemuda UMNO, Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan,  PERDASAMA Muda dan Yayasan Restu dalam mengumpul dana untuk membeli 10 000 naskhah Al Quran. Naskhah-naskhah Al Quran ini akan kemudiannya dihantar kepada masyarakat Islam Melayu-Champa (Cham) di Kemboja yang pada ketika ini hidup di dalam serba kedhaifan dan memerlukan bantuan. 


Dato' Sohaimi Shahadan ( kiri), tokoh muda PERDASAMA yang mengetuai inisiatif  Program Wakaf Quran


Masyarakat Cham merupakan masyarakat Islam di Kemboja yang sukar untuk mendapatkan Al Quran di sana kerana tidak dijual di kedai-kedai. Sehubungan itu, inisiatif ini merupakan satu sumbangan penting masyarakat di negara ini ke arah membantu membina survival dan kelestarian masyarakat Islam Cham di sana pada masa depan. 

Wakil-wakil media tempatan dan rakan-rakan NOG yang hadir untuk memberikan sokongan



Dana yang diperlukan untuk tujuan ini adalah RM 400, 000.00. Sehubungan ini, pihak  penganjur  ingin mengalu-alukan semua pihak untuk memberikan sumbangan ke arah menjayakan inisiatif ini. Sumbangan boleh diberikan sama ada dalam bentuk sumbangan naskhah Al Quran dan juga bentuk wang ringgit.  Sumbangan naskhah Al Quran boleh dilakukan terus  ke ibupejabat PERDASAMA Nasional yang bertindak selaku sekretariat program ini di 1717, Jalan Ledang off Jalan Duta , Kuala Lumpur (03-20952002) manakala untuk sumbangan wang boleh didepositkan terus ke akaun Maybank 162740135601.

Majlis Penutupan MITI-PERDASAMA Oil & Gas (MPOG) dan Pelancaran Networking Community Malaysia Petroleum Oil & Gas (MPOG)

Dr. Rohani Abd Rahim, Pengerusi Biro Petroeluem PERDASAMA sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.


Bertempat di Dewan Serbaguna MITI Putrajaya pada 28 Julai 2011 lalu,  program  ini  merupakan  satu  usaha  berterusan yang digerakkan oleh Biro Petroleum PERDASAMA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI bagi melahirkan lebih ramai pemain bumiputera di dalam sektor minyak  & gas di negara ini.  Sektor ini merupakan sektor ekonomi yang penting dan menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar negara. 

En Wan Zakaria Wan Ibrahim ( tengah & bersut hitam) sedang mengunjungi pameran yang diadakan


Peserta-peserta yang hadir memeriahkan program


 Biro Petroleum telah menganjurkan siri  program 3 hari yang telah dijalankan  di Melaka, Pahang dan Labuan pada tahun lepas. Peserta-peserta telah mengikuti seminar dan sesi ‘business coaching’ yang bertujuan memberi pendedahan kepada mereka . Program ini merupakan acara ‘majlis graduasi’ dan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada peserta-peserta yang menunjukkan komitmen, daya usaha dan inisiatif berterusan.

Puan Faizah Daud, wakil dari Talasco Marine

Encik Abdullah Mohamad, wakil dari Protube Services Sdn Bhd


Encik Ros Azman Othman menerima anugerah bagi pihak Boleh Jaya Trading


Majlis telah dirasmikan oleh En Wan Zakaria bin Wan Ibrahim, Pengarah Seksyen Penyelarasan dan pemantauan MITI. Tiga orang peserta yang telah menunjukkan komitmen berterusan telah menerima anugerah iaitu Talasco Marine, Protube Services Sdn Bhd dan Boleh Jaya Trading

Puan Mariatini Othman, wakil dari MTDC sedang menyampaikan penerangan


Puan Nina Fazlina dari SME Corporation

En Jamel Mat Noh dari CGC


Di samping itu, di dalam majlis ini juga peserta-peserta telah diberi penerangan oleh wakil-wakil daripada SME Corporation, Bahagian Pembangunan Bumiputera Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Malaysian Technology Development Corporation ( MTDC) tentang bentuk-bentuk pinjaman, dana dan geran yang ada.

Sunday 7 August 2011

Smart Entrepreneur Program - Pengurusan Kewangan dan Pengurusan Harta


Encik Aiman Fazeer Yap



Biro Wanita PERDASAMA telah menganjurkan Smart Entrepreneur Program , sebuah program untuk memberi pendedahan tentang pengurusan kewangan dan pengurusan harta. Kedua-dua aspek ini adalah penting untuk memastikan kelestarian sesebuah organisasi perniagaan. Program ini telah dilangsungkan pada 19 Julai 2011 lalu di Sekretariat PERDASAMA pusat dan berjaya menarik kehadiran kira-kira 30 orang peserta. 

Puan Hizatul Haryati Hassan



Dua orang penceramah jemputan telah diundang untuk hadir dan berkongsi kepakaran mereka di dalam majlis tersebut. Puan Hizatul Haryati Hassan dari HHaryati Hassan and Associates Sdn Bhd telah menyampaikan pandangan beliau dengan tajuk Pengurusan Kewangan- Aliran Tunai . En Aiman Fazeer Yap dari AFAZEER & Associates pula telah menerangkan konsep Total Wealth Management.

Peserta-peserta yang hadir tekun mendengar ilmu yang disampaikan penceramah

Monday 1 August 2011

Ultimate Print Mencetak Kegemilangan Melayu Di Dalam Industri Percetakan




Salah sebuah nama gergasi di dalam bidang percetakan ini adalah Ultimate Print Sdn Bhd yang merupakan salah sebuah syarikat percetakan yang paling berjaya di negara ini dan dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputera.

Syarikat ini ditubuhkan oleh individu-individu  yang terlebih dahulu bertanggung jawab menubuhkan Kumpulan Karangkraf iaitu Dato’ Hussamuddin bin Hj Yaacub, Encik Fickry bin Hj Yaacub dan Encik Mohd Nasir bin hj Hamzah. Syarikat ini bukanlah sebuah subsidiari kepada  Karangkraf tetapi merupakan syarikat yang berdiri dengan statusnya sendiri dan menjadi milik langsung kepada ketiga-tiga pengasasnya. Ditubuhkan pada tahun 1990, Ultimate Print merupakan manifestasi perancangan jangka masa panjang anak-anak tempatan yang berwawasan jauh serta ingin membuktikan kemampuan Melayu di dalam bidang percetakan. 




Menelusuri detik-detik tercetusnya idea untuk menubuhkan syarikat ini, sepanjang tempoh 12 tahun itu iaitu di antara tahun 1978 sehingga 1990, bahan terbitan keluaran Karangkraf seperti majalah dan buku dicetak oleh beberapa syarikat pencetakan milik  pengusaha bukan Bumiputra. Setelah beberapa lama melibatkan diri secara dekat dengan operasi pencetak-pencetak bukan Bumiputra, Dato’ Hussamuddin menyedari dan melihat sendiri bagaimana perniagaan pencetakan itu lebih menguntungkan dan membawa kepada peluang-peluang lain daripada sekadar menjadi  syarikat penerbitan.


Sebagai sebuah syarikat Bumiputera yang baru menapak secara serius di dalam bidang perniagaan percetakan, Ultimate Print tetap mampu berdaya saing dengan syarikat-syarikat lain. Mereka menimba pengalaman dan pengetahuan dalam bidang teknikal dan pengendalian mesin daripada syarikat-syarikat pencetakan Cina yang menjalankan percetakan untuk Karangkraf sebelum ini.  Dalam tempoh 4 tahun beroperasi  dan mengendalikan jumlah percetakan yang mencecah nilai RM 1 juta, mereka mampu untuk memiliki sebuah kilang pencetakan yang sederhana besar. Malah, Ultimate Print akhirnya berjaya mengambil alih semua kerja pencetakan daripada syarikat luar dan akhirnya mampu bermandiri . 



Kebijaksanaan membaca dan menggunakan peluang untuk melebarkan perniagaan adalah salah satu etos keusahawanan yang akan menentukan sesebuah perusahaan itu mampu melangkah ke tahap yang lebih baik atau sebaliknya kekal di takuk lama. Keadaan ini juga menjelma kepada Ultimate Print. Bermula tahun 1994, trend kewujudan pasar raya hyper  seperti Giant dan Makro sedang mula berkembang di negara ini.  Syarikat-syarikat besar ini telah meninjau syarikat-syarikat percetakan tempatan yang mampu mengendalikan jumlah kerja percetakan yang besar. Dengan keupayaan Ultimate Print sebagai sebuah syarikat pencetakan dengan kapasiti yang besar menerusi penggunaan mesin percetakan yang canggih, berteknologi terkini serta dapat memenuhi keperluan pasar raya – pasar raya hyper ini, mereka mendapat kepercayaan untuk mengendalikan permintaan para klien antarabangsa ini.   Selain daripada itu, dengan kemampuan untuk menampung job capacity yang lebih besar, mereka juga mengeksport kapasiti untuk menampung permintaan kerja-kerja pencetakan ke negara-negara luar seperti Hong Kong, Amerika Syarikat dan Singapura.





Bermula detik tersebut Ultimate Print terus melebarkan sayapnya dan kini berjaya meletakkan dirinya sebagai sebuah syarikat pencetakan komersial terbesar di Malaysia dengan pulangan sebanyak RM250 juta setahun. Dengan memiliki tenaga kerja menghampiri 600 orang yang 98 peratus daripadanya terdiri daripada orang Melayu, syarikat agam ini juga memiliki aset dalam bentuk mesin-mesin percetakan berteknologi tinggi bernilai lebih RM 100 juta. 

Menurut pandangan Dato’ Hussamuddin sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang percetakan di negara ini,  syarikat pencetakan Bumiputera terlalu bergantung kepada kerja-kerja yang diberikan oleh kerajaan dan tidak boleh berkembang dengan baik   kerana kerja-kerja  percetakan yang ditawarkan kerajaan adalah terhad dan tidak banyak jumlahnya.  Selain itu, kementerian, agensi dan jabatan kerajaan seperti DBP memiliki  unit-unit pencetakan sendiri dan boleh menggunakan khidmat Syarikat Percetakan Nasional Berhad. Hanya kerja-kerja lebihan sahaja yang akan diberikan kepada syarikat Bumiputera sedangkan di pasaran luar wujud peluang perniagaan yang lebih besar  dan mampu menjana keuntungan berbillion ringgit.


Sebagai seorang pengusaha yang sudah lama menceburkan diri di dalam perusahaan berskala besar dan mampu menembusi pasaran antarabangsa,  Dato’ Hussamuddin ketika mengulas apakah punca-punca pengusaha Bumiputera dikatakan tidak berdaya maju menjelaskan bahawa salah satu sebabnya adalah kerana terlalu ramai yang berebutkan peluang di dalam  pasaran yang kecil. Penawaran lebih tinggi daripada permintaan menyebabkan harga yang ditawarkan rendah, malah ke suatu tahap menyebabkan kerugian kepada peniaga. 




Masalah herd mentality  iaitu turut melakukan apa yang  dilakukan oleh orang lain hanya kerana ramai melakukannya semata-mata tanpa mengenal pasti kemampuan sendiri juga melanda pengusaha Bumiputera . Ramai di kalangan mereka yang cetek pengetahuan dan pengalaman dalam mengusahakan perniagaan pencetakan tetap mahu menjalankan perniagaan tersebut hanya semata-mata kerana melihat orang lain melakukannya. Akibatnya ramai yang terkandas dan menemui kegagalan. 

Latar belakang pengusaha itu sendiri memainkan peranan penting dalam menggerakkan perniagaan pencetakan. Sebagai contoh, Dato’ Hussamuddin sebelum menjadi pengusaha bidang percetakan pada hari ini pernah terlebih dahulu bermula sebagai penjual buku dalam tempoh belasan tahun. Kemudian beliau melangkah setapak lagi untuk menjadi penerbit buku dan majalah lalu akhirnya menjadi pencetak. Menurut beliau, dengan pengalaman dan pengetahuan sahaja iaitu menerusi proses semula jadi (organic process)  seseorang itu mampu bersaing di pasaran luar . Di samping itu, proses perantis atau apprenticeship iaitu bekerja dari bawah untuk menimba pengalaman dan kemahiran juga merupakan satu keperluan. Beliau memberi contoh bahawa bagi seseorang pencetak Cina, sebelum menjadi pencetak, dia akan bekerja di kilang pencetakan milik orang lain dahulu sebagai pengendali mesin cetak atau jurujual. Dengan berbuat sedemikian, mereka akan mendalami ilmu teknikal dan kemahiran membina jaringan perniagaan. (Versi penuh artikel ini boleh didapati di dalam Buletin PERDASAMA edisi ke 29)