Monday 1 August 2011

Ultimate Print Mencetak Kegemilangan Melayu Di Dalam Industri Percetakan




Salah sebuah nama gergasi di dalam bidang percetakan ini adalah Ultimate Print Sdn Bhd yang merupakan salah sebuah syarikat percetakan yang paling berjaya di negara ini dan dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputera.

Syarikat ini ditubuhkan oleh individu-individu  yang terlebih dahulu bertanggung jawab menubuhkan Kumpulan Karangkraf iaitu Dato’ Hussamuddin bin Hj Yaacub, Encik Fickry bin Hj Yaacub dan Encik Mohd Nasir bin hj Hamzah. Syarikat ini bukanlah sebuah subsidiari kepada  Karangkraf tetapi merupakan syarikat yang berdiri dengan statusnya sendiri dan menjadi milik langsung kepada ketiga-tiga pengasasnya. Ditubuhkan pada tahun 1990, Ultimate Print merupakan manifestasi perancangan jangka masa panjang anak-anak tempatan yang berwawasan jauh serta ingin membuktikan kemampuan Melayu di dalam bidang percetakan. 




Menelusuri detik-detik tercetusnya idea untuk menubuhkan syarikat ini, sepanjang tempoh 12 tahun itu iaitu di antara tahun 1978 sehingga 1990, bahan terbitan keluaran Karangkraf seperti majalah dan buku dicetak oleh beberapa syarikat pencetakan milik  pengusaha bukan Bumiputra. Setelah beberapa lama melibatkan diri secara dekat dengan operasi pencetak-pencetak bukan Bumiputra, Dato’ Hussamuddin menyedari dan melihat sendiri bagaimana perniagaan pencetakan itu lebih menguntungkan dan membawa kepada peluang-peluang lain daripada sekadar menjadi  syarikat penerbitan.


Sebagai sebuah syarikat Bumiputera yang baru menapak secara serius di dalam bidang perniagaan percetakan, Ultimate Print tetap mampu berdaya saing dengan syarikat-syarikat lain. Mereka menimba pengalaman dan pengetahuan dalam bidang teknikal dan pengendalian mesin daripada syarikat-syarikat pencetakan Cina yang menjalankan percetakan untuk Karangkraf sebelum ini.  Dalam tempoh 4 tahun beroperasi  dan mengendalikan jumlah percetakan yang mencecah nilai RM 1 juta, mereka mampu untuk memiliki sebuah kilang pencetakan yang sederhana besar. Malah, Ultimate Print akhirnya berjaya mengambil alih semua kerja pencetakan daripada syarikat luar dan akhirnya mampu bermandiri . 



Kebijaksanaan membaca dan menggunakan peluang untuk melebarkan perniagaan adalah salah satu etos keusahawanan yang akan menentukan sesebuah perusahaan itu mampu melangkah ke tahap yang lebih baik atau sebaliknya kekal di takuk lama. Keadaan ini juga menjelma kepada Ultimate Print. Bermula tahun 1994, trend kewujudan pasar raya hyper  seperti Giant dan Makro sedang mula berkembang di negara ini.  Syarikat-syarikat besar ini telah meninjau syarikat-syarikat percetakan tempatan yang mampu mengendalikan jumlah kerja percetakan yang besar. Dengan keupayaan Ultimate Print sebagai sebuah syarikat pencetakan dengan kapasiti yang besar menerusi penggunaan mesin percetakan yang canggih, berteknologi terkini serta dapat memenuhi keperluan pasar raya – pasar raya hyper ini, mereka mendapat kepercayaan untuk mengendalikan permintaan para klien antarabangsa ini.   Selain daripada itu, dengan kemampuan untuk menampung job capacity yang lebih besar, mereka juga mengeksport kapasiti untuk menampung permintaan kerja-kerja pencetakan ke negara-negara luar seperti Hong Kong, Amerika Syarikat dan Singapura.





Bermula detik tersebut Ultimate Print terus melebarkan sayapnya dan kini berjaya meletakkan dirinya sebagai sebuah syarikat pencetakan komersial terbesar di Malaysia dengan pulangan sebanyak RM250 juta setahun. Dengan memiliki tenaga kerja menghampiri 600 orang yang 98 peratus daripadanya terdiri daripada orang Melayu, syarikat agam ini juga memiliki aset dalam bentuk mesin-mesin percetakan berteknologi tinggi bernilai lebih RM 100 juta. 

Menurut pandangan Dato’ Hussamuddin sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang percetakan di negara ini,  syarikat pencetakan Bumiputera terlalu bergantung kepada kerja-kerja yang diberikan oleh kerajaan dan tidak boleh berkembang dengan baik   kerana kerja-kerja  percetakan yang ditawarkan kerajaan adalah terhad dan tidak banyak jumlahnya.  Selain itu, kementerian, agensi dan jabatan kerajaan seperti DBP memiliki  unit-unit pencetakan sendiri dan boleh menggunakan khidmat Syarikat Percetakan Nasional Berhad. Hanya kerja-kerja lebihan sahaja yang akan diberikan kepada syarikat Bumiputera sedangkan di pasaran luar wujud peluang perniagaan yang lebih besar  dan mampu menjana keuntungan berbillion ringgit.


Sebagai seorang pengusaha yang sudah lama menceburkan diri di dalam perusahaan berskala besar dan mampu menembusi pasaran antarabangsa,  Dato’ Hussamuddin ketika mengulas apakah punca-punca pengusaha Bumiputera dikatakan tidak berdaya maju menjelaskan bahawa salah satu sebabnya adalah kerana terlalu ramai yang berebutkan peluang di dalam  pasaran yang kecil. Penawaran lebih tinggi daripada permintaan menyebabkan harga yang ditawarkan rendah, malah ke suatu tahap menyebabkan kerugian kepada peniaga. 




Masalah herd mentality  iaitu turut melakukan apa yang  dilakukan oleh orang lain hanya kerana ramai melakukannya semata-mata tanpa mengenal pasti kemampuan sendiri juga melanda pengusaha Bumiputera . Ramai di kalangan mereka yang cetek pengetahuan dan pengalaman dalam mengusahakan perniagaan pencetakan tetap mahu menjalankan perniagaan tersebut hanya semata-mata kerana melihat orang lain melakukannya. Akibatnya ramai yang terkandas dan menemui kegagalan. 

Latar belakang pengusaha itu sendiri memainkan peranan penting dalam menggerakkan perniagaan pencetakan. Sebagai contoh, Dato’ Hussamuddin sebelum menjadi pengusaha bidang percetakan pada hari ini pernah terlebih dahulu bermula sebagai penjual buku dalam tempoh belasan tahun. Kemudian beliau melangkah setapak lagi untuk menjadi penerbit buku dan majalah lalu akhirnya menjadi pencetak. Menurut beliau, dengan pengalaman dan pengetahuan sahaja iaitu menerusi proses semula jadi (organic process)  seseorang itu mampu bersaing di pasaran luar . Di samping itu, proses perantis atau apprenticeship iaitu bekerja dari bawah untuk menimba pengalaman dan kemahiran juga merupakan satu keperluan. Beliau memberi contoh bahawa bagi seseorang pencetak Cina, sebelum menjadi pencetak, dia akan bekerja di kilang pencetakan milik orang lain dahulu sebagai pengendali mesin cetak atau jurujual. Dengan berbuat sedemikian, mereka akan mendalami ilmu teknikal dan kemahiran membina jaringan perniagaan. (Versi penuh artikel ini boleh didapati di dalam Buletin PERDASAMA edisi ke 29)

1 comment:

  1. Sebut harga majalah sekolah
    Kuantiti 400
    Muka surat 200 tidak termasuk kulit
    Full colour
    Perfect binding
    Kertas bg muka surat dlm (80g similipaper)

    ReplyDelete